Berlandaskan memperkasakan komuniti dalam penjagaan kendiri ke arah Labuan pulau sihat, Jabatan Kesihatan Labuan sentiasa komited dalam menambah baik perkhidmatan secara berterusan.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli berkata, Karnival Labuan Pulau Sihat dapat mendekatkan Jabatan kesihatan bersama masyarakat melalui konsep turun padang dan ia salah satu usaha merakyatkan perkhidmatan kesihatan bagi penduduk di Wilayah ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media, selepas menyempurnakan majlis perasmian Karnival Labuan Pulau Sihat, bertempat di Anggerik Square, Ujana Kewangan. Tambah beliau, penganjuran karnival itu merupakan platform untuk mendidik komuniti Labuan ke arah hidup yang lebih sihat.

Turut hadir pada Karnival Labuan Sihat, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Ismuni Bohari, Pengarah Bahagian Perbandaran, Perbadanan Labuan, Dato’ Othman Jusoh dan Timbalan Pengerusi MPP Zon Labuan, En. Salim Abd. Rahman.

Pelbagai pengisian aktiviti di adakan. Antaranya, pameran unit jabatan kesihatan, saringan kesihatan, Hari Bertemu pelanggan, pertandingan kuiz, persembahan pentas, karaoke dan sebagainya.

Dalam pada itu, kempen dan sambutan hari-hari khas kesihatan turut di adakan iaitu Hari Jantung Sedunia, Hari Farmasi Sedunia, Hari Keselamatan Makanan Sedunia, Minggu Penyusuan Susu Ibu, dan Hari Kesihatan Mental Sedunia.

Selain itu, turut dilancarkan BookDoc Komuniti dan pengenalan Skim Peduli Kesihatan (PeKa B-40), seterusnya; penyampaian Anugerah Duta Kenali Ubat Anda, penyampaian sijil Pengiktirafan Bersih, Selamat dan Sihat (BeSS) dan Sijil Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).

Hampir 2 000 orang hadir memeriahkan karnival tersebut.