Majlis Keselamatan Negara (MKN) berperanan sebagai peneraju kepada pengurusan keselamatan negara, diperingkat nasional, negeri dan daerah.

Pengarah MKN Labuan, Pn. Nurzalizah Kartika Abdullah berkata, ini termasuk bertanggungjawab menyelaras dasar-dasar berkaitan berkaitan keselamatan negara dan arahan mengenai langkah-langkah keselamatan. Ia juga merangkumi gerakan-gerakan keselamatan, ketenteraman awam, dan perkara-perkara melibatkan keselamatan secara langsung diseluruh negara.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Pengurusan Keselamatan Labuan : Pengurusan Dan Pengendalian Situasi Bencana Dan Krisis, anjuran MKN Labuan.

Menurut Pn. Nurzalizah, aspek kedaulatan dan keselamatan sentiasa sentiasa menjadi teras dan tunjang utama kepada negara. Justeru, kerajaan dan rakyat perlu sama-sama bertanggungjawab memastikan aspek tersebut sentiasa dilindungi dan dipelihara.

Sementara itu, Pn. Nurzalizah berkata, agensi keselamatan memainkan peranan besar dalam menggalas tanggungjawab terhadap pengurusan keselamatan negara secara khusus.

Namun katanya, dalam mendepani cabaran yang semakin besar dan ancaman bersifat pelbagai, tanggungjawab terhadap keselamatan negara juga perlu digalas secara bersama setiap agensi kerajaan, ‘stakeholders’, termasuk pemain industri dan komuniti setempat.

Menurutnya, tanggunjawab tersebut termasuklah menjalankan fungsi agensi, perkongsian maklumat, serta kerjasama erat dalam mengendali situasi bencana dan krisis, sekiranya berlaku. Tambahnya, dalam usaha ke arah kemajuan dan pembangunan di Labuan; aspek dan elemen keselamatan dilihat sentiasa menjadi keutamaan dan perhatian; selain kesediaan dan pengetahuan perlu ada bagi mendepani sebarang kemungkinan yang berlaku.

Ini kerana katanya, risiko bencana dan ancaman keselamatan sentiasa ada dalam pelbagai skala dan bentuk; sama ada berpunca daripada kelemahan sistem dalaman sendiri, faktor geografi dan persekitaran, yang perlu dikendali secara terselaras berdasarkan direktif yang digariskan kerajaan. Direktif tersebut seperti yang terkandung didalam Arahan-Arahan Majlis Keselamatan Negara dan dijadikan panduan, seterusnya diselarikan dengan perancangan operasi diperingkat agensi kerajaan, dan instalasi sasaran penting.