Langkah menambahbaik sistem pertanian kepada pertanian moden, mampu memastikan penduduk luar bandar dan pemain industri itu meraih pendapatan lumayan, disamping membantu meningkatkan kadar eksport agro negara. Ini meliputi mesin dan teknik tanaman, serta biji benih dan baja.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan, Dato' Phahrolrazi Mohd. Zawawi berkata, perubahan itu perlu dalam mengatasi keterbatasan tanah, selain menjana peningkatan hasil. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-12, di Dewan Serbaguna Lembaga Pertubuhan Peladang Labuan.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan pembahagian dividen tertinggi kepada ahli dengan kadar 10%, bagi tahun berakhir 2018.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Wilayah Persekutuan, Datuk Yussof Mohamad, dan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Labuan, Yazid Mahat.

Ini sebagai menyokong gesaan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, agar pembangunan teknologi-agro baharu dilaksana di wilayah Borneo, dalam menghapus jurang besar atau ketidaksamaan antara setiap negeri.

Sementara itu, Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) telah ditubuhkan selama 12 tahun di Labuan, dengan objektif membantu mengukuhkan ekonomi pergerakan pertubuhan peladang, seterusnya meningkatkan taraf ekonomi dan sosial pertubuhan.

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Wilayah Persekutuan, Datuk Yussof Mohammad berkata, bidang pertanian dan peladang mendatangkan sumber pendapatan yang lumayan kerana ia berupaya menghasilkan keuntungan, selaras dengan konsep “Pertanian adalah Satu Perniagaan”.

Tambah beliau, PPN Labuan akan memberikan dividen kepada ahli sebanyak 10%, ia merupakan kadar dividen yang tertinggi sejak penubuhan PPN di  pulau ini.

Justeru, beliau berharap Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dapat membantu kumpulan peladang nita dan peladang muda dari segi sumber kewangan untuk menjalankan aktiviti bagi menarik lebih ramai untuk menjadi ahli peladang.