Lebih 500 orang hadir bagi memeriahkan Konsert Santai sempena Karnival Edidih Badudun Kitani 2019 anjuran Labuan FM, berlangsung di Dataran Labuan, malam tadi.

Para penonton disajikan dengan persembahan beberapa artis jemputan. Antaranya, Kumpulan Markaz 69, Ash-ton, Santiana, Fanzi, dan Velvet, disamping persembahan nyanyian dj-dj Labuan FM.

Ia merupakan salah satu pengisian karnival itu yang bermula semalam, sehingga Isnin ini. Sementara hari ini, karnival dimeriahkan lagi dengan pelbagai acara.

Antaranya, sukan kajarangan, cabaran kadayan Barunai, dj corner, dan aktiviti zumba, bermula seawal jam 7.30 pagi tadi. Manakala pada sebelah malam pula, berlangsung Majlis Perasmian Karnival dan Konsert Edidih Badudun Kitani, bermula jam 8.00 malam.

Perasmiannya disempurnakan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli. Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Labuan, Pn. Fauziah Mohd. Sidek.

Program diadakan sekali dengan Karnival Belia sempena Sambutan Hari Malaysia 2019 peringkat Labuan, kelolaan bersama Perbadanan Labuan dan Majlis Belia Labuan.