Kesedaran orang ramai terhadap Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ke-2 yang dikuatkuasakan, menunjukkan trend peningkatan dalam mematuhi arahan tersebut, di Labuan. Ketua Polis Labuan, Superitenden Muhamad Farid Ahmad berkata, dalam tempoh 2-hari fasa ke-2 PKP ini dilaksanakan, lebih 15 ribu orang telah diperiksa dalam sekatan itu.

Katanya, selaras pelaksanaan penguatkuasaan 1-kenderaan 1-orang, masing-masing mematuhi arahan demikian, dan ia menunjukkan trend kenderaan yang keluar dapat dikurangkan. Beliau berkata kepada pemberita, ketika meninjau perkembangan Sekatan Jalan Raya (SJR), di Labuan.

Namun demikian, masih ada segelintir masyarakat terpaksa dihantar oleh ahli keluarga, kerana tidak mempunyai lesen memandu untuk pergi bekerja, walau mempunyai surat pengesahan arahan kerja.

Sementara itu, menurut Superitenden Muhamad Farid, setakat ini, tidak ada kesalahan yang direkodkan, kerana orang awam mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan mengikut perintah yang telah dikuatkuasakan.

Beliau berkata, orang awam juga memberikan kerjasama yang baik kepada petugas barisan hadapan, agar sekatan jalan raya berjalan dengan lancar. Selain itu, banyak kedai-kedai membabitkan kedai persendirian, pasaraya dan kedai makan, hanya beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 8.00-malam.

Namun, beliau memaklumkan masih ada yang keluar rumah tanpa alasan yang musabah, dan ingkar terhadap perintah tersebut. Walau bagaimanapun, pihak polis telah menasihatkan kepada mereka yang keluar ke bandar untuk membeli barang supaya balik, berikutan tidak ada kedai yang dibuka.

Dlam pada itu, Ketua Polis Labuan, Superitendan Muhamad Farid Ahmad, menafikan kenyataan yang tular di media sosial Facebook dan Whatsapp, mengenai pergerakan penumpang dalam kenderaan untuk keluar bekerja. Status itu telah pun dikongsi dan tular di pelbagai medium media sosial.

Kenyataan status pemilik akaun facebook ‘Qurra-tunisa Yahya’, di Group Facebook ‘We Love Labuan’ (WELL), pada 2 April 2020 menyatakan bahawa, para petugas boleh keluar bekerja dengan mengikuti ahli keluarga dan saudara terdekat, termasuk suami atau adik-beradik dalam sebuah kenderaan, boleh bergerak ke tempat kerja seperti sebelum ini, dan membawa surat majikan. 

Menurut Superitendan Muhamad Farid, setelah meneliti kenyataan itu secara terperinci mendapati, ianya tidak benar dan tidak selari sepenuhnya dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 2, yang dikuatkuasakan kerajaan mulai 1 April 2020, yang mewartakan sebuah kereta seorang pemandu. Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dalam membuat kenyataan di laman media sosial. Ini kerana, membuat kenyataan palsu adalah menjadi satu kesalahan dan ia boleh didakwa.