Mayat seorang daripada 3 pemancing yang sebelum ini dilaporkan hilang ketika keluar memancing diperairan Lawas, Sarawak, ditemui pagi semalam, manakala 2 lagi masih hilang.

Mangsa, Yee Chon Tiong, 30 tahun, dijumpai terdampar diatas batu dikawasan perairan Sungai Labik, Sarawak, kira-kira jam 8.35 pagi, sementara 2 rakannya yang masih belum ditemui, iaitu Mohd. Amirul Bakar dan Faruk Arina Ahmad Sabri, masing-masing berumur 26 dan 29 tahun.

Mayat mangsa ditemui penduduk kampung, telah dikenalpasti oleh ahli keluarganya, dan telah dibawa ke Hospital Lawas.

Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan, Kepten Che Adnan Md. Isa, ketiga-tiga pemancing keluar memancing pada Isnin lalu, kira-kira jam 5.00 pagi, dan sepatutnya pulang jam 6.00 petang hari yang sama, dengan menggunakan bot jenis fiber, berwarna kuning oren.

Katanya, laporan kehilangan diterima daripada isteri salah seorang daripada pemancing, yang melaporkan bahawa suaminya, Faruk Arina dan 2 rakannya pergi memancing di sekitar Pulau Sari; setelah ketiga-tiga mereka tidak pulang.

Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan, bagi mencari 2 lagi yang masih belum ditemui.