Majlis penyerahan bendera kepada atlet Orang Kurang Upaya (OKU) Labuan, yang akan mewakili negara dalam sukan boling padang dan badminton, berlangsung di Lapangan Terbang Labuan.

Seramai 5 atlet Labuan akan mewakili negara, masing-masing 3 atlet sukan boling padang, manakala 2 lagi pemain badminton.

Penyerahan bendera telah disempurnakan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli. Kehadiran beliau untuk memberi sokongan moral, seterusnya pembakar semangat kepada para atlet.

Atlet boling padang akan bersaing di ‘2nd Asia Disable Bowls Championship 2019’, di Pusat Boling Padang Nasional Bukit Kiara, pada 14 hingga 22 September ini.

Sementara acara badminton pula, atlet akan berentap pada Kejohanan Para-Badminton Antarabangsa 2019, di Bangkok, Thailand, yang dijadual pada 14 hingga 23 September.

Hadir sama pada majlis itu, Presiden Persatuan Sukan Dan Rekreasi Orang Kurang Upaya (PESRON) Labuan, En. Wong Foo Leong, dan Penolong Pengarah Sukan, Jabatan Belia Dan Sukan Labuan, Cik Dayangku Rahimah Pengiran Hassan.