Labuan bakal menjadi sebuah pulau digital seperti yang telah dirancang perlaksanaannya di Pulau Langkawi.

Ini dinyatakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), En. Gobind Singh Deo, dalam kunjungan hormat Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli ke Pejabat beliau, pagi tadi di Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Datuk Rozman berkata ketika dihubungi pemberita, sesi perjumpaan itu turut membincangkan mengenai tahap capaian internet di Pulau ini secara keseluruhannya.

Selain itu, Datuk Rozman memohon kepada pihak KKMM untuk memberikan keutamaan dalam belanjawan pembangunan berkaitan komunikasi dalam Rancangan Malaysia (RMK) 12.

Dalam pada itu, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah mengambil maklum tentang keadaan semasa mengenai capaian internet di pulau bebas cukai ini.

Seterusnya, akan berusaha membantu menyelesaikan permasalahan itu dengan kadar segera dalam tahun ini.

Sementara itu, Datuk Rozman menyampaikan penerangan kepada Menteri KKMM berkaitan perancangan China Academy Of Information and Communication Technology (CAICT) dalam pembangunan “Smart City” di Labuan dan Sabah.