Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, mengenal pasti 36 kawasan perairan termasuk 24 pulau di Sabah dan Labuan, yang sering menjadi sasaran kegiatan pengeboman ikan.

Komandernya, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata, pengebom ikan sering menyasarkan kawasan perairan cetek dan berbatu karang, bagi melakukan kegiatan berkenaan. Katanya, mereka juga menyasarkan kawasan pelantar minyak serta perairan tepi pantai diluar dari kawasan bot tunda.

Di Labuan, perairan yang disasarkan pengebom ikan adalah Pulau Papan, Pulau Daat, Pulau Tiga, serta Pelantar Minyak Semarang.

Dalam pada itu, bagi tempoh 6 bulan sejak Januari tahun ini, beliau berkata, pihaknya merekodkan 23-kes bom ikan dibawah Akta Perikanan 1985, dengan nilai rampasan 82-ribu 540-ringgit. Bagi Akta Bahan Letupan 1957 pula, terdapat 6 kes direkodkan, dengan nilai rampasan RM23 592.

Sementara itu, ACP Mohamad Pajeri berkata, selain jenayah rentas sempadan dan kemasukan kumpulan militan yang perlu diberi perhatian, PPM turut berusaha menangani jenayah berkaitan ancaman alam sekitar. Ini seperti pengeboman ikan serta menangkap ikan menggunakan ‘sodium sonite’.

Menurutnya, hal ini kerana, kegiatan menangkap ikan menggunakan bahan letupan, bukan sahaja memberi impak negatif dengan memusnahkan hidupan dibawah laut, malah boleh mengorbankan nyawa.

Tambah beliau, selain mengadakan operasi intra agensi bersama Jabatan Perikanan dan Taman-Taman Sabah bagi menangani jenayah pengeboman ikan, PPM turut mendekati komuniti sebagai usaha mengekang kegiatan itu.