Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ke-2 berkuatkuasa di seluruh negara bermula hari ini sehingga 14 April 2020. Oleh itu, Jawatankuasa Bencana Peringkat Labuan terus komited membantu golongan yang memerlukan bantuan bagi menampung keperluan bekalan makanan.

Dalam pada itu, bahagian petugas kebajikan yang diselaraskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Labuan, serta dibantu daripada Perbadanan Labuan dan RELA, terus menyalurkan bantuan kit makanan bagi membantu meringankan beban yang dihadapi, sepanjang tempoh penguatkuasaan tersebut. Proses pengagihan bantuan itu dilaksanakan secara berperingkat, melibatkan beberapa buah kampung di sekitar Labuan.

Selain itu, agihan tersebut berdasarkan senarai pemohon yang membuat permohonan bantuan, terdiri daripada golongan asnaf, berpendapatan bergaji hari serta bekerja sendiri. Sementara itu, rata-rata penerima bantuan itu bersyukur dan mengucapkan terima kasih atas keperhatian pihak kerajaan dalam usaha membantu mereka. Sekaligus, dapat membantu dari segi bekalan makanan sepanjang tempoh perintah PKP, bagi mengawal penularan wabak COVID-19.