Lebih RM4.5 Juta  diperuntukan untuk kerja-kerja menaiktaraf 32 unit  rumah kakitangan Perbadanan Labuan.

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, projek itu bertujuan untuk memberi keselesaan kepada kakitangan P-L yang menghuni perumahan tersebut. Beliau berkata projek menaiktaraf bangunan berkenaan telah pun  siap 13.8% seperti yang dijadualkan dan dijangka siap sepenuhnya, Otober tahun depan.

Datuk Seri Saripuddin ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan ke tapak kerja penaiktarafan di Bangunan Rumah Pangsa Perbadanan Labuan, Kampung Durian Tunjung.

Selain itu, beliau juga berkesempatan melawat ke 2 buah rumah daif yang menerima bantuan baik pulih rumah daif di Bandar, Fasa 3 bagi tahun 2019, di bawah program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) Perbadanan Labuan.

Kedua-dua buah rumah berkenaan, di Kampung Kerupang 2 dan Kg Sungai Miri itu telah siap sepenuhnya pada bulan Mei lalu, masing-masing menerima bantuan baik pulih atap dan siling serta lantai dan dinding.

Dalam perkembangan lain, kira-kira RM45 000 diperuntukan bagi menaiktaraf kemudahan awam di bawah peruntukan pemberian khas bagi tahun 2019 di Labuan. Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Saripuddin berkata, peruntukan tersebut meliputi kerja-kerja membaikpulih surau di Kampung Kerupang.

Selain itu, beliau berkata, daripada jumlah peruntukan tersebut, sebanyak RM15 000 diperuntuk untuk membaikpulih astaka di Padang Bola, Kampung Layngan-Layangan. Kedua-dua projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya Oktober tahun ini.