Kesedaran dalam kalangan penduduk perlu ditingkatkan untuk tidak membuang sampah terutama di perkampungan air.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli berkata, ia perlu bagi memastikan kawasan persekitaran sentiasa bersih dan tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Dengan adanya program gotong-royong dengan penglibatan penduduk kampung, ia secara tidak langsung memberi kesedaran kepada orang ramai untuk menjaga kebersihan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Gotong-Royong Kampung Airku Sejahtera dan Masyarakat Peduli, anjuran Perbadanan Labuan dan pelbagai agensi bertempat di Kampung Patau-Patau Dua.

Pada program itu, Datuk Rozman turut menyampaikan simbolik penyerahan pemasangan perangkap sampah kepada MPKK Patau-Patau Dua, En. Asmat Saripan.

Selain itu beliau menyarankan untuk setiap individu mengamalkan gaya hidup sihat supaya penyakit berjangkit dan tidak berjangkit dapat dielakkan daripada awal lagi.