Pengukuhan hubungan etnik yang pelbagai dalam Maqasid Syariah terus direalisasi menerusi penganjuran program-program sosial yang mengajak penyertaan masyarakat berbilang kaum dan agama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, ini kerana konsep itu merangkumi fahaman kesaksamaan serta toleransi setiap aspek kehidupan masyarakat Malaysia walaupun berlainan latarbelakang.

Beliau ditemui pada Program MAIWPCare, yang disertai lebih 120 sukarelawan yang membersihkan kawasan rumah Bakri Nor, salah seorang penerima bantuan baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Kampung Sungai Miri.

Turut terlibat agensi kerajaan, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), 3rd Force dan Mutiara Labuan.

Pada program itu, Datuk Seri Dr Mujahid turut menyampaikan bantuan Skim Baiki Rumah dan Skim Bantuan Peralatan Kesihatan MAIWP berjumlah hampir RM 53 000 kepada 5 penerima di Labuan.