Kolej Vokasional Labuan (KVL) tampil menghulurkan bantuan dengan menghasilkan ‘face shield’ atau perisai muka, kepada petugas barisan hadapan. Untuk itu, sebanyak 30-set perisai muka disediakan pihak KVL kepada petugas Jabatan Kesihatan Labuan.

Pengarah KVL, Pn. Hjh. Siti Muslihah Leeudin berkata, idea membuat perisai itu diilhamkan para pensyarah Program Pemesinan Industri, dan mendapat persetujuan dari Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional. 

Majlis penyerahan dilakukan Pn. Hjh. Siti Muslihah kepada Penolong Pegawai Perubatan, Klinik Kesihatan Labuan, En. Hasanuddin Beddu, di Kolej Vokasional Labuan, semalam. Sementara itu, Pn. Hjh. Siti Muslihah turut menyarankan pensyarahnya membuat perisai itu untuk disumbangkan kepada Hospital Labuan, dan juga Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah.

Projek membuat perisai muka itu dilakukan para Pensyarah Program Pemesinan Industi KVL, diketuai En. Yu Mong Chi. Setiap satu perisai muka itu mengambil masa 1-jam 7-minit untuk disiapkan, dan semua 30-set itu disiapkan dalam tempoh 3 hari. Menurut Pn. Hjh. Siti Muslihah, sekiranya pihak Jabatan Kesihatan memerlukan, pihaknya akan menghasilkan lagi perisai muka tersebut. Katanya, pihak KVL juga menunggu maklum balas petugas yang menggunakan perisai itu jika perlu penambahbaikan, untuk keselesaan kepada petugas-petugas Jabatan Kesihatan.