Hampir 100 peserta menyertai Konvoi Kembara Merdeka Kibarkan Jalur Gemilang peringkat Labuan.

Konvoi bermula dari Medan Selera Labuan, melibatkan 30 kenderaan itu menyelusuri kampung-kampung dan kawasan bandar untuk menyampaikan mesej kedaulatan negara sambil mengedarkan Jalur Gemilang. Konvoi kembara sejauh 34 kilometer itu dilancarkan oleh Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli di Taman Damai Layang-Layangan.

Datuk Rozman berkata, penyatupaduan dan penerimaan merupakan sumber kekuatan utama masyarakat pelbagai bangsa dan agama, dalam menjaga kedaulatan negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Bulan Kebangsaan peringkat Labuan, Dr Fary Akmal Osman berkata, penyatuan masyarakat berbilang latar belakang di Labuan merupakan asas pembangunan pulau bebas cukai itu, sesuai dengan statusnya sebagai wilayah sifar konflik kaum yang harus diteladani setiap negeri. Pendedahan serta kesedaran kepada orang awam terutama penduduk di kampung air, mengenai kebersihan di sekitar kampung perlu ditingkatkan.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran, Perbadanan Labuan , Datuk Othman Che Jusoh berkata, ia perlu bagi memastikan kawasan kampung air khususnya, tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes, sekaligus mengurangkan statistik kematian yang berpunca daripada demam Denggi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Kampung Airku Sejahtera dan Masyarakat Peduli, bertemat di Kampung Bebuloh Laut. Program yang berlangsung merupakan anjuran Kementerian Wilayah dan Perbadanan Labuan itu, dirasmikan oleh Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, merangkap Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Labuan, En Simsudin Sidek.

Beliau menyambut baik penganjuran program sedemikian yang mampu menjamin keselesaan penduduk di kawasan kampung air yang terdapat di wilayah ini.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Bebuloh, En Samat Maidin turut melahirkan rasa berterima kasih atas keprihatinan pihak Perbadanan Labuan serta MPP bersama komuniti terlibat, dalam menjayakan program itu.

Dalam program tersebut juga, turut diadakan aktiviti gotong-royong, taklimat Agensi Anti Dadah, serta pameran kesihatan dan saringan kesihatan. Turut disampaikan simbolik penyerahan perangkap sampah bagi memudahkan kerja-kerja pembersihan sampah yang terdampar di perairan kawasan mereka.