Kumpulan “Sinaran Maida” daripada SMK Labuan, merangkul Johan Pertandingan Pengisahan Kenegeraan Sempena sambutan bulan kebangsaan 2019, bertempat di Anjung Budaya Taman Damai Kg. Layang Layangan.

Dengan Tajuk Pengisahan ‘P-Ramlee Seniman Agung Negara’, yang menewaskan 4 kumpulan yang lain, membawa pulang hadiah wang tunai RM 3 000 sekaligus mewakili Labuan ke Peringkat Kebangsaan. Manakala, Naib Johan di sandang oleh pasukan “Pearl Revolution”, menerima hadiah wang tunai RM 2 000 dan tempat ketiga “Team Pisangs”, menerima hadiah tunai RM 1 500.

Pertandingan yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia Labuan, bertujuan memupuk semangat patriotisme dalam diri setiap yang hadir, antara objektif penganjuran juga adalah untuk menyuburkan semangat integrasi nasional antara wilayah, suku kaum, budaya serta agama.

Selain itu, membentuk kepercayaan melalui rentetan sejarah dan perjuangan tokoh-tokoh negara semasa berjuang menentang penjajahan dan membina sebuah negara bangsa yang berdaulat dan bermaruah.

Dalam perkembangan berkaitan, Pertandingan Pengisahan Kenegaraan peringkat Labuan telah dirasmikan oleh Pengerusi Perbadanan Labuan, Dato’ Sri Amir Hussien. Beliau berkata, pertandingan itu merupakan satu medium, bagi menggalakkan masyarakat umum, menyampaikan pandangan mengenai peristiwa bersejarah, dan juga tokoh yang telah diiktiraf kejayaan mereka di negara ini.

Selain itu juga, sebagai satu usaha pendidikan berterusan yang boleh dimanfaatkan, dalam proses pembinaan negara bangsa dan jati diri rakyat Malaysia.  Beliau turut berharap agar semua warga Malaysia, khususnya di Labuan agar sentiasa menghargai tokoh-tokoh kemerdekaan negara serta tidak melupakan jasa dan pengorbanan mereka yang terlalu besar dalam memulakan proses pembinaan negara bangsa kita yang berjaya.

 Sementara itu, beliau turut menyeru semua pihak agar dapat bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang di mana-mana sahaja anda berada sebagai tanda sokongan dan cintakan negara pada sambutan bulan kebangsaan 2019 tahun ini.