Kesedaran orang ramai mengenai keperluan golongan autisme perlu ditingkatkan dan mendapat perhatian umum.

Pengarah Pusat Perkembangan Autisme Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL), En. Shafrry Mohd Sarif berkata, masyarakat khususnya guru-guru dan ibu bapa perlu memahami cara yang betul untuk berkomunikasi dengan mereka.

Justeru, penubuhan Pusat Perkembangan Autisme UMSKAL adalah untuk menjalankan pelbagai aktiviti untuk intervasi awal bagi kanak-kanak autisme. Tambah beliau lagi, walaupun menghadapi pelbagai cabaran dalam penubuhannya, namun pusat ini tetap beroperasi demi menjaga kebajikan kanak-kanak autisme.

Setakat ini jumlah tenaga pengajar di pusat ini adalah seramai 7 orang yang terdiri daripada 5 orang perempuan dan 2 orang lelaki. Sementara itu, En Shafrry berkata, cabaran yang dihadapi oleh pusat ini ialah penerimaan ibu bapa terhadap kanak-kanak autisme yang menginginkan anak mereka sembuh seperti sedia kala.

Katanya lagi, agensi yang ada di wilayah ini juga diharapkan dapat memberikan bantuan yang sewajarnya untuk intervensi awal kanak-kanak autisme agar golongan minoriti ini mendapat layanan seperti masyarakat yang lainnya.

Tambahnya lagi, pusat perkembangan tersebut juga telah mengalami 3 fasa semenjak penubuhannya pada tiga tahun lepas iaitu fasa pertama adalah pada peringkat permulaan program kesedaran berkenaan autisme. Manakala fasa kedua adalah pada tahun 2017 iaitu sebagai modul intervensi awal kanak-kanak.

Seterusnya pada tahun 2018 adalah fasa ketiga berkenaan dasar kerajaan sehinggalah pusat berkenaan tersebut diiktiraf sebagai Pusat Perkembangan Autisme yang terbaik.