Dalam usaha untuk memastikan dasar Islam Negara terus diperluas, Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) giat menjalankan pelbagai pengisian program keagamaan kepada masyarakat.

Antaranya penganjuran program Town Hall Rahmatan Lil Alamin yang akan berlangsung pada 19 Ogos ini di Dewan Utama Kompleks Darul Kifayah, Majlis Agama Islam (MAIWP) Labuan, seterusnya pelancaran Program Dakwah Kawasan Operasi (PRODAKSI).

Menurut Pengurus MAIWP Labuan, Ustaz Ahmad Saifuddin Md Tahir berkata, sesi Town Hall itu merupakan anjuran bersama  Jabatan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), JAKIM dan MAIWP Labuan.

Program Town Hall itu akan disampaikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid bin Yusof, manakala pelancaran PRODAKSI akan disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Haji Zulkifli Haji Zainal Abidin.Turut hadir sama, Menteri Pertahanan, En. Mohamad Sabu.

Sementara itu, program PRODAKSI yang bakal dilancarkan merupakan satu program dakwah yang diperkenalkan oleh Jabatan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT). Program itu telah dilaksanakan sebanyak sembilan siri dan pada tahun ini, Op Pasir Sektor Selatan akan bermula pada 20 sehingga 23 Ogos di Semporna Sabah.

Menurut Pegawai Staff Agama, Markas Wilayah Udara 2, Kapten Kamarulzaman Isa berkata, sesi tersebut akan dijalankan selama lima hari dan 4 malam di Pangkalan Udara Labuan dengan menjemput pasukan Tentera Darat yang berhampiran dan masyarakat di sekitar Labuan.

Tujuan utama program itu dilaksanakan adalah bagi mengenal pasti permasalahan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari sudut keilmuan mahupun emosi yang bertugas di perbatasan. Selain menyuntik semangat juang dan pengorbanan di kalangan anggota ATM yang sedang bertugas.