Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang kini dilanjutkan sehingga 14 April 2020, bekalan keperluan harian di Labuan dijamin mencukupi untuk kegunaan warga di Wilayah ini. Ini dinyatakan Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN-HEP) Labuan, En. Amirul Hadi Idham.

Katanya, disamping bekalan sedia ada yang terdapat di premis dan pusat penyimpanan, para peniaga dan pemborong juga telah membuat tempahan stok bekalan, bagi menampung keperluan penduduk. Ini menerusi laporan yang diterima dari pihak peniaga dan pemborong, dan menyatakan bekalan baru akan diterima dalam masa terdekat.

Mengenai bekalan penutup hidung dan mulut serta cecair pembasmi kuman, En. Amirul berkata, tempahan telah dibuat oleh pihak farmasi dan pembekal. Bekalan akan sampai sedikit masa lagi, bergantung pengeluaran dari kilang dan logistik, dan keutamaan adalah untuk kegunaan petugas dibarisan hadapan seperti Kesihatan, Polis, dan Tentera, dan selebihnya untuk orang awam.

Pihaknya akan sentiasa membuat tinjauan dan pemantauan ke premis-premis yang menjual topeng muka dan cecair pembasmi kuman, selain memastikan ia dijual tidak melebihi harga siling yang telah ditetapkan. Beliau turut menasihatkan para pengguna agar tidak membuat pembelian panik, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebuah jawatankuasa khas dibentuk menerusi Jawatankuasa Gerak Kerja Pengurusan COVID-19 peringkat Labuan, yang berperanan menyelaras pengagihan bantuan bekalan makanan kepada golongan memerlukan. Penyelarasan dibuat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebagai inisiatif kumpul dan agih bantuan.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Gerak Kerja Pengurusan COVID-19 peringkat Labuan, ia bagi memudahkan pemohon bantuan dalam kalangan golongan asnaf menerima bekalan makanan yang mencukupi, dan pada masa sama dapat membendung penularan wabak COVID-19, di wilayah ini.

Selain itu, jawatankuasa berkenaan juga dalam usaha mengumpul maklumat penerima bantuan yang terputus bekalan makanan, disebabkan tiada pendapatan harian, pekerja bergaji hari, serta peniaga dan penjaja kecil.

Jawatankuasa Gerak Kerja Pengurusan COVID-19 peringkat Labuan, terdiri daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Kesihatan dan Perbadanan Labuan, serta beberapa agensi lain yang terlibat.

Dalam perkembangan berkaitan, bagi yang ingin menyumbang bantuan berbentuk makanan kepada golongan kurang berkemampuan, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perlu menyalurkannya kepada Jawatankuasa Gerak Kerja COVID-19, di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), di Wisma Perbadanan Labuan.

Pihak jawatankuasa tersebut akan menyelaras semua sumbangan tersebut kepada penerima, bagi mematuhi peraturan PKP dan membendung penularan wabak tersebut. Sebarang pertanyaan, boleh hubungi bilik operasi berkenaan di talian 425 600.

Sementara itu, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli, turut menyokong usaha yang dilakukan pihak jawatankuasa berkenaan, untuk menyelaras pengumpulan dan pengagihan bantuan tersebut. Katanya, mana-mana individu atau Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang ingin memberikan sumbangan, perlu diserahkan kepada jawatankuasa berkenaan, agar dapat diselaras dengan teratur.

Beliau berkata demikian, selepas meninjau bilik gerakan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), di Labuan. Datuk Rozman turut menyumbang barangan keperluan makanan untuk diagihkan kepada masyarakat setempat, yang telah memohon bantuan tersebut.