Merentang Jalur Gemilang sepanjang 63 meter sempena 63 tahun Malaysia telah merdeka, merupakan simbolik Program Aspirasi Merdeka LabuanFM yang dianjurkan, membabitkan seramai 150 orang peserta berbasikal dan mendaki Bukit Kubong.
Ia melibatkan aktiviti berbasikal sejauh 13.9 KM, mendaki Bukit Kubong setinggi 91 meter dari aras laut, dan seterusnya menyanyikan lagu Negaraku dan melaungkan kemerdekaan sebagai simbolik sambutan Bulan Kebangsaan di Labuan.
Ia secara tidak langsung mempromosikan Labuanfm di peringkat akar umbi selain mewar-warkan kemudahan-kemudahan terkini yang disediakan seperti RTM Mobile, Myklik dan lain-lain lagi.
Acara pelepasan dan penyerahan Jalur Gemilang telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman kepada kumpulan berbasikal yang diketuai oleh Ketua Polis Labuan, Superintenden Muhamad Farid Ahmad, sambil disaksikan Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Labuan, Pn. Fauziah Mohd Sidek, Pengarah Jabatan Penerangan Labuan, En. Supian Musa dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Pn. Nurzalizah Kartika Abdullah.
Program ini turut mendapat kerjasama daripada Perbadanan Labuan, Jabatan Penerangan Labuan, Polis DiRaja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Kelab Sukan Jabatan Belia dan Sukan Labuan.