Ceramah Kesihatan Sempena Hari Radio Sedunia

 

Amalan gaya hidup sihat dan persekitaran yang kondusif, amat penting dalam meningkatkan produktiviti pekerja untuk menyumbang tenaga kepada negara.

Justeru, Pegawai Perubatan Seksyen Kawalan Penyakit, Jabatan Kesihatan Labuan, Dr. Rosnelizaide Ramely berkata, kesedaran dan pengetahuan adalah perlu, bagi memastikan tahap kesihatan terus terjamin.

Oleh itu, golongan pekerja disaran sentiasa melakukan aktiviti kecergasan, sekurang-kurangnya 1 jam, 5 hari seminggu, bagi mencegah penyakit tidak berjangkit; seperti diabetes, tekanan darah tinggi, dan obesiti.   

Katanya, tidak kira penjawat awam mahupun kakitangan swasta, perlu melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti sukan dan kecergasan fizikal, seperti melakukan senaman, jogging ataupun berbasikal, dikawasan riadah.

Dan ini perlu dijadikan sebagai budaya hidup secara berkala.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Ceramah Amalan Gaya Hidup Sihat Di Tempat Kerja sempena Sambutan Hari Radio Sedunia, di Jabatan Penyiaran Labuan.

Program yang turut diisi dengan saringan kesihatan itu, dihadiri pegawai dan kakitangan RTM Labuan, termasuk Timbalan Pengarahnya, Pn. Fauziah Mohd. Sidek.

Tambah Dr. Rosnelizaide, sekiranya warga Labuan sentiasa aktif melakukan aktiviti kecergasan, maka hasrat menjadikan Labuan Pulau Sihat, akan tercapai.

Dalam pada itu, beliau juga mahu memasukkan RTM Labuan sebagai premis jabatan kerajaan yang pertama, dalam Program Kospen Plus, di wilayah ini.

Ia merupakan program intervensi faktor risiko penyakit tidak berjangkit, di tempat kerja.