Majlis Perpisahan Pengarah Penyiaran WP Labuan

Kakitangan Jabatan Penyiaran Labuan diingatkan agar terus berkhidmat dengan penuh semangat, berintegriti, dedikasi dan cemerlang, serta sentiasa meningkatkan pengetahuan dalam kemahiran teknologi.

Pengarahnya, Pn. Rohani Harithuddin berkata, ini penting sejajar peranan jabatan itu sebegai medium penyiar terunggul, di negara ini.

Selain itu katanya, RTM haruslah sentiasa menjadi stesen penyiaran pertama menyalurkan maklumat kepada umum. Informasi dan berita terkini yang disampaikan pula haruslah tepat dan sahih.

Beliau berkata demikian pada Majlis Jasamu Dikenang, di Laman Pa’adian, Labuan FM.

Tambahnya, kerjasama erat dalam kalangan pegawai dan kakitangan juga perlu dikekalkan, bagi menghasilkan kejayaan dan mutu kerja yang berkualiti.

Walaupun dalam perasaan sedih, beliau tetap mahu pegawai dan kakitangan RTM terus mengeratkan silaturrahim, selain melangkah jauh ke hadapan, mengharungi pelbagai rintangan dan halangan, demi keperluan pendengar dan penonton setia RTM.

Pn. Rohani Harithuddin bertugas di Jabatan Penyiaran Labuan selama 2 tahun, bermula 12 Januari 2017, sebelum bersara wajib, pada 31 Januari 2019.

Lebih 40 orang pegawai dan kakitangan termasuk piecemeal dan penyampai program segmen tempatan ‘Edidih’, hadir ke majlis itu yang turut diisi dengan  tazkirah.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Penyiaran Labuan, Pn. Fauziah Mohd. Sidek.